Setiap individu mempunyai personaliti yang berlainan. Ada yang lebih berminat untuk berkongsi masalah dengan insan lain dan ada pula yang mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi secara bersendirian. Justeru, dalam pelbagai senario yang wujud dalam kehidupan seharian, khidmat kaunseling boleh membantu seseorang menangani cabaran-cabaran yang dihadapi secara berkesan sebagaimana menurut Zainal Abidin (2002), kaunseling bertujuan membantu seseorang belajar membuat pilihan dan melaksanakan pilihan yang dibuat. Kaunseling juga merupakan proses dimana seseorang individu atau kelompok kecil yang bertemu untuk meneroka masalah dan mengenalpasti penyelesaian yang melibatkan temubual bersiri untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, kaunseling merupakan kaedah penyelesaian yang praktikal berkaitan masalah dalam kehidupan seharian atau pekerjaan.
Krumboltz (1965) menjelaskan kaunseling merupakan aktiviti beretika yang dilakukan oleh kaunselor dalam usaha membantu klien menunjukkan tingkah laku yang mendorong kepada penyelesaian masalah klien. Manakala, Persatuan Bimbingan dan Personel Amerika (1980) memberikan tafsiran mereka bahawa kaunseling ialah penggunaan Prosedur Kaunseling dan bidang lain yang berkaitan dengan tingkah laku manusia untuk membantu mempelajari bagaimana menyelesaikan masalah.
Burks dan Steffire (1979) pula berendapat kaunseling merupakan perhubungan profesional antara seorang kaunselor terlatih dan klien bersifat “person-to-person”. Kadang-kadang melibatkan dua orang bagi menyelesaikan masalah emosional dan interpersonal manakala Sapora Sipon (2002) pula menjelaskan kaunseling merupakan satu perhubungan sama ada dalam bentuk kelompok, keluarga atau individu yang bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan, keselamatan dan perubahan. Kaunseling juga perlu menghasilkan tingkah laku yang bebas dan bertanggungjawab di pihak klien diiringi dengan kebolehan memahami dan mengurus emosi. Perhubungan ini biasanya bersifat bersemuka person-to-person, walaupun kadang-kadangkala ia melibatkan lebih daripada dua orang.
Menurut Sapora Sipon definisi kaunseling yang wujud diantara penulis membawa matlamat yang sama iaitu membantu klien menjalani kehidupan yang lebih baik dan berkesan untuknya. Kamus Pelajar Edisi Kedua dan Kamus Dewan Edisi Keempat pula mentakrifkan kaunseling sebagai proses teratur yang melibatkan perbincangan yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha yang dijalankan untuk mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mentakrifkan kesihatan membawa maksud keadaan manusia yang sempurna dari aspek fizikal, mental, dan sosial serta tidak hanya ketika ketiadaan penyakit atau kelemahan. Jelas sekali definisi ini menegaskan bahawa status kesihatan ditunjangi oleh faktor fizikal, mental dan sosial yang sihat, cergas, serta tidak diancam oleh sebarang penyakit yang boleh memudaratkan individu. Dalam definisi ini terdapat tiga komponen utama yang perlu kita lihat bagi memahami maksud kesihatan. Komponen-komponen tersebut ialah kesihatan fizikal, kesihatan mental, dan kesihatan sosial
Menurut Asmawati Baharudin (1998) mentakrifkan kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Ia melibatkan proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga merupakan proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien. Tujuan kaunseling bukanlah untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar iaitu mengetahui kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
Kesimpulannya, kaunseling dapat dirumuskan sebagai proses membantu menyelesaikan masalah secara sistematik dan beretika. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.